بسم الله الرحمن الرحيم
Sebahagian manusia cuba mengelirukan masyarakat tentang pengharaman muzik mengikut pemahamannya sendiri. Tafsiran para ulama berkaitan ayat-ayat dan hadis pengharaman dan hukum alat muzik diketepikan. Inilah di antara punca penyimpangan.
Sesiapa yang merujuk kepada syarahan ayat AlQuran dan Hadis berkaitan hukum alat muzik, akan temui majoriti ulama menyatakan pengharamannya. Mereka amat mengingkari alat muzik dan mengatakan orang yang bermain muzik merupakan orang yang fasiq.
Hadis Abu Malik Al-Asy’ari رضي الله عنه jelas menyatakan wujudnya generasi kemudian yang akan menghalalkan muzik. Namun, sebahagian manusia cuba membuat syubhat dengan mengatakan bahawa pengharaman muzik tak boleh disamakan dengan pengharaman zina dan arak yang telah pun ada dalil mengharamkan secara mutlak. Bila Nabi kata [ Akan muncul orang yang menghalalkan… ] ertinya tak diharamkan di zaman Nabi صلى الله عليه وسلم dan macam macam lagi alasan yang melambangkan ceteknya ilmu pengetahuan.
Orang yang inginkan kebenaran pasti akan merujuk kepada kefahaman yang betul berdasarkan syarahan yang dinyatakan oleh para ulama. Sekiranya ada perselisihan tentang hukum, mereka akan meneliti berdasarkan hujah dan dalil yang dikemukakan. Memilih pendapat yang bersesuaian dengan keinginan nafsu syahwat menjadikan manusia menghimpunkan keburukan di dalam dirinya.
Kesan buruk minat kepada lagu dan muzik amat jelas iaitu menjadikan manusia berpaling daripada Al-Quran. Firman Allah :
{ وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ }
{ dan dikalangan manusia ada yang menggunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah } – Surah Luqman ayat 6
Kata Al-Hasan Al-Bashri رحمه الله menafsirkan maksud perkataan yang tidak berguna : ” Lagu dan seruling (alat muzik) “.
Untuk mencapai kesucian iman, umat Islam hendaklah menjauhkan perkara yang merosakkan fikiran dan minat mereka. Lagu-laguan dan muzik akan memalingkan mereka dari agama Allah dan Al-Quran. Oleh itu Imam Asy-Syafie رحمه الله mengingkari perbuatan golongan yang menjadikan lagu untuk mereka berhibur. Kata beliau :
” Aku telah meninggalkan sesuatu di Baghdad yang dipanggil taghbir (yang dikenali dengan nasyid pada zaman ini) , direka oleh golongan zindiq untuk memesongkan manusia dari Al-Quran ”
– Riwayat Abu Nuaim dalam kitab “Al-Hilyah”.
Mencukupi Al-Quran sebagai penenang dan penghibur hati orang-orang yang beriman.