Sebagaimana yang telah dinyatakan pada siri yang lalu, Islam mengajar umatnya memutuskan perhubungan di antara kawasan yang terkena wabak penyakit dengan kawasan yang selamat. Ini bertujuan mengelakkan tersebarnya wabak ke merata tempat. Berkaitan dengan wabak Covid-19 yang terjadi sekarang langkah ini tidak dipandang serius. Maka terjadilah apa yang terjadi sekarang. Kes wabak ini telah melepasi angka satu juta dengan bilangan yang terkorban sudah melebihi 50 ribu orang.
Apa yang hendak saya tegaskan di sini adalah perlunya tindakan segera dilakukan pihak kerajaan di saat munculnya sebarang jenis wabak penyakit. Pemerintah perlu mengambil tindakan drastik menutup semua pintu masuk negara sama ada melalui jalan darat, udara dan laut. Tiada siapa dibenarkan masuk ke negara ini khususnya mereka yang bukan warga tempatan. Rakyat yang menetap di luar negara tidak perlu dibawa pulang kerana ini menyelisihi petunjuk Rasulullah iaitu orang yang berada di tempat wabak dilarang keluar darinya. Sekiranya ada keperluan mendesak untuk membenarkan individu atau kumpulan tertentu masuk maka mereka hendaklah dikuarantin dan dipastikan tidak membawa virus penyakit. Tindakan segera seperti ini walaupun dilihat keterlaluan namun ianya memberikan kebaikan yang besar buat penduduk setempat. Kebaikan tersebut antaranya adalah seperti berikut :
- Mereka terhindar daripada wabak tersebut
- Kehidupan harian berjalan seperti biasa. Masyarakat terselamat daripada kesusahan disebabkan sekatan perjalanan dan perintah berkurung
- Ekonomi tempatan tidak terjejas teruk kerana rakyat dapat bekerja seperti biasa
- Kerajaan tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar bagi menangani kesan wabak
Oleh itu apa yang terjadi hari ini sepatutnya menjadi pengajaran buat kita umat Islam sama ada dikalangan pemimpin dan rakyat. Sepatutnya kita menyedari tentang pentingnya mengikuti petunjuk nabi kita Muhammad صلى الله عليه وسلم dan merasai betapa tinggi dan mulianya ajaran Islam. Perbuatan melanggar petunjuk tersebut menjadikan kita terdedah kepada bahaya sama ada berkaitan kehidupan di dunia ini mahu pun akhirat.
Sama-samalah kita mengambil iktibar agar keperitan ini tidak kembali berulang
نعم، جزاك الله خيرا يا استاذ.
جزاك الله خيرا يا استاذ
جزاك الله خيرا يا استاذ