بسم الله الرحمن الرحيم
Akidah ini didendangkan oleh sebahagian manusia dan semakin tersebar luas. Penganutnya menganggap ia adalah aqidah yang murni tentang Allah kerana mensucikan Allah daripada menyerupai makhlukNya. Akidah ini juga disebarkan untuk menyanggah apa yang dipegang oleh ahli sunnah wal jamaah bahawa Allah berada di atas arasy.
Sesiapa yang memahami pembahasan yang lalu (adakah mengatakan Allah berada di atas arasy membawa erti menetapkan tempat bagiNya) maka mereka akan menyedari bahawa pengingkaran golongan tersebut tidak mempunyai asas. Hanya mereka sahaja yang membayangkan bahawa beri’tiqad Allah berada di atas arasy membawa maksud Allah bertempat. Inilah punca kekeliruan yang membawa kepada penolakan nas-nas yang menyatakan bahawa Allah berada di atas arasy.
Ketahuilah wahai orang-orang yang beriman, aqidah kita dibina di atas nas AlQuran dan Sunnah. Kita tidak menyatakan sesuatu berkaitan dengan aqidah kita melainkan ada nas yang menyatakan tentangnya. Oleh itu aqidah golongan ini ( Allah wujud tanpa bertempat) perlu ditolak kerana :
1. Tiada satu nas pun yang menyatakan seperti yang mereka sebutkan.
2. Dalil-dalil daripada AlQuran dan hadis telah menetapkan bahawa Allah berada di atas dan Dia berada di atas arasyNya.
3. Menolak apa yang disebutkan di dalam nas tanpa ada dalil dan hujah melainkan sekadar dakwaan tidak bertepatan dengan akal merupakan penyimpanan dalam berpegang dengan nas AlQuran dan Sunnah. Ini kerana akal mestilah tunduk kepada nas dan bukan nas diubah maksudnya supaya bersesuaian dengan akal
4. Sekiranya apa yang disebutkan oleh mereka merupakan a’tiqad yang betul tentang Allah nescaya nas AlQuran atau hadis terlebih dahulu menyebutkan tentangnya. Akan ada nas yang menyatakan seperti yang mereka sebutkan :
الله موجود بلا مكان
Atau sekurang kurangnya ada petunjuk tentangnya di dalam nas. Adakah mereka menyangka bahawa AlQuran dan hadis menyatakan aqidah yang mengelirukan? Sedangkan permasalahan aqidah merupakan sebesar-besar perkara yang perlu difahami oleh manusia. Di mana kenyataan seperti ini disebutkan oleh generasi terbaik dikalangan salafus soleh? Adakah mereka jahil tentangnya? Setelah wujudnya golongan ahli kalam barulah aqidah ini (Allah wujud tanpa bertempat) difahami oleh manusia? Adakah kelompok ahli kalam ini lebih bijak daripada Allah dan rasulNya serta generasi salafus soleh dalam menerangkan tentang aqidah yang betul? Sekali-kali tidak wahai orang yang beriman.
5. Menyanggah apa yang disebutkan Allah di dalam kitabNya dan apa yang disebutkan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم di dalam hadis merupakan perbuatan yang tidak beradab. Ahli kalam dan ulama sunnah yang terkesan dengan mereka beradab dengan nas AlQuran dan Sunnah serta menghormati generasi terawal. Oleh itu mereka menyatakan jalan salaf adalah lebih selamat dan jalan khalaf adalah lebih berilmu dan bijaksana. Perkataan seperti ini – walaupun ia tidak betul dan tidak boleh diterima – sekurang kurangnya menunjukkan penghormatan mereka kepada pegangan generasi terawal yang berlainan dengan pemahaman mereka. Adapun pengikut-pengikut ahli kalam pada zaman ini, mereka amat keras dalam mengingkari orang yang tidak mengambil fahaman mereka. Golongan yang berpegang bahawa Allah berada di atas arasy dilabel sebagai mujassimah yang sesat bahkan kafir. Ini berpunca daripada kedangkalan akal dan ceteknya ilmu pengetahuan.
Kesimpulannya ahli sunnah wal jamaah tidak menyebutkan apa yang dilafazkan oleh golongan tersebut. Sekiranya mereka bermaksud mensucikan Allah daripada berhajat kepada tempat maka itu adalah benar. Allah tidak memerlukan apa-apa pun dikalangan makhlukNya. Sekiranya mereka bermatlamat mengingkari apa yang disebutkan di dalam nas bahawa Allah berada di atas arasy maka ia merupakan penyimpangan daripada jalan yang lurus yang dilalui oleh generasi salafus soleh. Hendaklah umat Islam berasa cukup dengan petunjuk AlQuran dan Sunnah serta pemahaman salafus soleh untuk memahami agama dan menghindarkan diri daripada membahaskan perkara yang tidak disebutkan di dalam nas.
نسأل الله التوفيق والسداد