بسم الله الرحمن الرحيم
Sebagaimana yang telah dijelaskan, dosa syirik merosakkan tauhid orang yang beriman. Sebagaimana pentingnya pengetahuan tentang tauhid begitulah juga amat perlu kita mengetahui bahaya dosa syirik. Pokok yang diberi baja yang baik dan dijaga daripada makhluk perosak seperti anai-anai dan serangga akan hidup subur. Begitulah juga tauhid seorang muslim. Ia akan elok dan sempurna dengan diberikan ilmu pengetahuan yang menyuburkan dan melindunginya daripada perkara yang merosakkannya.
Di dalam AlQuran dan hadis banyak nas-nas yang menyatakan tentang bahaya dosa tersebut. Saya akan nyatakan secara ringkas sebagai pedoman buat para pembaca untuk mereka memahami kesan buruk yang menimpa pelaku syirik.
1. Dosa syirik merupakan dosa yang paling besar, lebih besar daripada dosa derhaka kepada ibu bapa, membunuh, minum arak, mengumpat, berzina dan sebagainya. Pelakunya tidak akan diampunkan Allah sekiranya dia mati dalam keadaan tidak bertaubat. Firman Allah :
{إن الله لا يغفر أن يشرك به ويغفر ما دون ذلك لمن يشاء ومن يشرك بالله فقد ضل ضلالا بعيدا} [النساء : 116]
“Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan kesyirikan yang dilakukan denganNya dan Dia mengampunkan dosa yang selain itu bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Siapa yang mensyirikkan Allah maka dia telah sesat dengan kesesatan yang jauh” – surah an-nisa ayat 116
Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :
أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الْكَبَائِرِ “. ثَلَاثًا، قَالُوا : بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ : ” الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ، وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ “. وَجَلَسَ وَكَانَ مُتَّكِئًا فَقَالَ : ” أَلَا وَقَوْلُ الزُّورِ – رواه البخاري ومسلم
“Ketahuilah, aku akan khabarkan kepada kamu tentang dosa-dosa besar yang paling besar (3x). Mereka berkata : bahkan ya wahai Rasulullah. Kata Baginda : syirik kepada Allah dan menyakiti ibu bapa. Baginda sedang duduk lalu bersandar seraya berkata : ketahuilah…penyaksian yang dusta “-riwayat albukhori dan muslim
2. Pelaku syirik diharamkan memasuki syurga. Firman Allah :
{لقد كفر الذين قالوا إن الله هو المسيح ابن مريم وقال المسيح يا بني إسرائيل اعبدوا الله ربي وربكم إنه من يشرك بالله فقد حرم الله عليه الجنة ومأواه النار وما للظالمين من أنصار} [المائدة : 72]
“Sesungguhnya telah kufurlah orang-orang yang berkata bahawa Allah merupakan al-masih ibnu maryam sedangkan al-masih (isa) telah mengatakan : wahai bani Israel, sembahlah Allah yang merupakan Rob aku dan Rob kamu sekalian. Sesungguhnya sesiapa yang mensyirikkan Allah maka Allah mengharamkan ke atasnya syurga. Tempatnya adalah neraka jahanam dan tiada penolong buat orang-orang yang zalim “-surah al-maidah ayat 72
3. Syirik melanggar hak Allah. Hak yang lebih besar daripada hak sesama manusia sama ada ibu bapa, pemimpin dan sebagainya. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :
يَا مُعَاذُ، هَلْ تَدْرِي حَقَّ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ ؟ وَمَا حَقُّ الْعِبَادِ عَلَى اللَّهِ ؟ “. قُلْتُ : اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ : ” فَإِنَّ حَقَّ اللَّهِ عَلَى الْعِبَادِ أَنْ يَعْبُدُوهُ وَلَا يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا، وَحَقَّ الْعِبَادِ عَلَى اللَّهِ أَنْ لَا يُعَذِّبَ مَنْ لَا يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا – رواه البخاري ومسلم
“Wahai muaz, adakah kamu tahu hak Allah ke atas hamba-hambaNya dan hak hamba-hamba ke atas Allah? Kata muaz : Allah dan rasulNya lebih mengetahui. Kata Baginda : Hak Allah ke atas hamba-hambaNya hendaklah mereka beribadat kepadaNya dan tidak mensyirikkan sesuatu pun denganNya. Hak hamba-hamba ke atas Allah, Dia tidak mengazab orang yang tidak mensyirikkan sesuatu pun denganNya “-riwayat albukhori dan muslim
Perkara-perkara yang disebutkan di atas sudah cukup untuk menyedarkan orang-orang beriman tentang bahaya dosa syirik seterusnya kembali kepada wahyu Allah untuk menyelamatkan diri mereka daripada dosa tersebut