بسم الله الرحمن الرحيم
Bagi orang yang membaca AlQuran, mereka akan sering menemui kalimah Rob dan kalimah Ilah di dalam ayat-ayatnya. Apabila merujuk kepada terjemahan kita akan dapati kedua-dua kalimah ini diterjemahkan dengan makna tuhan. Persoalan yang mungkin tidak terlintas di fikiran ramai masyarakat Islam adalah :
1. Kenapa ada 2 perkataan merujuk kepada makna yang satu iaitu tuhan?
2. Sekiranya ada perbezaan di antara kedua-duanya apakah perbezaan tersebut?
3. Kenapakah Allah menggunakan lafaz Ilah sahaja bagi kalimah syahadah umat Islam?
4. Adakah sekadar mengaku bahawa Allah merupakan Rob bagi sekalian alam ini dikira sebagai beragama Islam?
Persoalan-persoalan di atas perlu diletakkan di dalam kotak fikiran kita untuk memahami maksud tauhid yang sebenar. Tauhid yang terkandung di dalam kalimah لا إله إلا الله. Kesemua para rasul diutuskan untuk mengajak manusia kepada kalimah tersebut. Umum mengetahui bahawa kalimah Rob tiada di dalam lafaz syahadah walaupun ia juga diterjemah dengan perkataan ‘tuhan’. Oleh itu menjadi kewajipan ke atas umat Islam memahami makna kedua-duanya agar mereka dapat mentauhidkan Allah dengan sebenar-benarnya sebagaimana yang dituntut di dalam agama.
Pada bahagian yang lalu telah dijelaskan makna Rob dan makna Ilah. Kedua-duanya mempunyai makna yang tersendiri walaupun makna tersebut merujuk kepada yang satu iaitu Allah تبارك وتعالى. Apa yang hendak ditekankan di sini adalah pengakuan bahawa Allah merupakan pencipta, penguasa dan pentadbir alam ini diakui oleh kebanyakan manusia termasuk orang-orang musyrikin di zaman jahiliyah. Firman Allah سبحانه وتعالى :
{ولئن سألتهم من خلق السماوات والأرض وسخر الشمس والقمر ليقولن الله فأنى يؤفكون} [العنكبوت : 61]
“Dan sekiranya kamu (Rasulullah) bertanya kepada mereka (orang musyrikin) :siapakah yang yang mencipta langit dan bumi dan memperjalankan matahari dan bulan? Mereka akan mengatakan : Allah. Maka bagaimana mereka boleh dipesongkan (daripada beribadat kepada Allah sahaja) – surah al-ankabut 61
FirmanNya lagi :
{ولئن سألتهم من خلقهم ليقولن الله فأنى يؤفكون} [الزخرف : 87]
“Dan sekiranya kamu bertanya kepada mereka : siapakah yang mencipta mereka? Nescaya mereka akan berkata : Allah. Maka bagaimana mereka boleh dipesongkan” – surah az-zukhruf 87
FirmanNya lagi :
{قل من يرزقكم من السماء والأرض أمن يملك السمع والأبصار ومن يخرج الحي من الميت ويخرج الميت من الحي ومن يدبر الأمر فسيقولون الله فقل أفلا تتقون} [يونس : 31]
“Katakanlah : siapakah yang memberi rezeki dari langit dan bumi atau pun siapa yang memiliki (berkuasa ke atas) pendengaran dan penglihatan dan siapa yang mengeluarkan yang hidup daripada kematian dan mengeluarkan yang mati daripada kehidupan dan siapa yang mentadbir segala urusan? Mereka akan berkata : Allah. Maka katakanlah : kenapakah tidak kamu bertaqwa “-surah yunus 31
Lihatlah bagaimana Allah menjelaskan di dalam ayat-ayat di atas tentang pengakuan orang-orang musyrikin bahawa Allah merupakan pencipta dan pentadbir segala apa yang ada di langit dan di bumi, Allah yang memberi rezeki dan menghidup dan mematikan makhluk ciptaanNya. Namun pengakuan tersebut tidaklah menjadikan mereka dikira sebagai orang-orang yang beriman. Kenapa? Kerana mereka mensyrikikkan Allah apabila melakukan ibadat dengan menyeru dan berdoa kepada selain Allah. Mereka pergi kepada patung berhala dan kuburan untuk mengharapkan bantuan. Apabila mereka memesongkan ibadat kepada selain Allah maka mereka dikira sebagai orang-orang yang mensyirikkan Allah kerana amal ibadah hanya boleh dilakukan kepada Allah sahaja. Allah menceritakan di dalam kitabNya tentang hal keadaan orang-orang musyrikin yang beribadat kepada selainNya di dalam firmanNya :
{فإذا ركبوا في الفلك دعوا الله مخلصين له الدين فلما نجاهم إلى البر إذا هم يشركون} [العنكبوت : 65]
“Apabila mereka menaiki kapal (lalu datang ombak besar dan angin kencang) mereka berdoa kepada Allah dalam keadaan mereka mengikhlaskan amalan mereka (kerana bimbang karam di lautan). Apabila Allah selamatkan mereka dengan selamat sampai ke daratan tiba-tiba mereka kembali melakukan kesyirikan “-surah al-ankabut 65
Ertinya mereka kembali beribadat dan berdoa kepada patung berhala yang mereka sembah. Perhatikan bagaimana Allah mengatakan bahawa mereka mensyirikkan Allah kerana beribadat kepada selain Allah. Mereka inilah orang-orang yang mengaku bahawa Allah merupakan pencipta dan pentadbir sekalian alam. Namun pengakuan tersebut tidak menjadikan mereka orang-orang yang beragama islam apabila mereka memesongkan ibadat kepada selain Allah.
Oleh itu hendaklah kita memahami pengertian ibadat dan menyedari bahawa ibadat tidak boleh dilakukan kepada selain Allah. Menyeru nama sesuatu untuk mengharapkan bantuan, berdoa dan memohon perlindungan merupakan sebahagian daripada ibadat. Sesiapa yang melakukannya kepada selain Allah dalam perkara yang tidak mampu melakukan melainkan Allah seperti menyembuhkan penyakit, meminta rezeki dan seumpamanya maka dia merupakan orang yang mensyirikkan Allah dengan syirik yang besar. Syirik yang menyamai perbuatan orang-orang musyrikin yang terdahulu.
والله المستعان