بسم الله الرحمن الرحيم
Setelah manusia memahami makna tauhid ar-rububiyyah dan matlamat penegasannya di dalam AlQuran maka mudah bagi mereka memahami maksud tauhid al-uluhiyyah. Di dalam siri ini akan dijelaskan makna yang dikehendaki daripada kalimah uluhiyyah agar pembaca memahami dengan lebih mendalam pengertian dan kepentingannya.
Makna uluhiyyah
Kalimah uluhiyyah daripada perkataan ‘Ilah’. Apabila kita merujuk kepada kamus ia membawa erti sesuatu yang dilakukan ibadat kepadanya. Di dalam bahasa arab disebut ‘ معبود ‘. Apabila disebut ilah maka maksudnya adalah yang disembah dan dilakukan ibadat kepadanya. Daripada keterangan ini maka dapat difahami bahawa makna tauhid uluhiyyah adalah menjadikan Allah merupakan satu-satunya yang layak disembah dan dilakukan ibadat kepadanya. Setelah manusia mengakui tauhid ar-rububiyyah maka ia menuntut mereka agar tidak beribadat melainkan kepada Allah sahaja. Selain daripada Allah tidak layak disembah kerana ia tidak memiliki apa-apa. Tauhid inilah yang akan menjadikan manusia dikira sebagai seorang muslim. Adapun sekadar pengakuan bahawa Allah merupakan pencipta, penguasa dan pentadbir alam ini sahaja, ia tidak menjadikan seseorang dikira sebagai beriman sehinggalah dia mentauhidkan Allah dengan tauhid al-uluhiyyah. Ini kerana orang-orang musyrikin di zaman Rasulullah mereka juga mengaku bahawa Allah merupakan pencipta dan pentadbir alam ini. Namun mereka tetap tidak dikira sebagai seorang muslim sehinggalah mereka mengakui bahawa tiada yang berhak disembah dan dilakukan ibadat kepadanya melainkan Allah. Firman Allah tentang pengakuan musyrikin tersebut :
{ولئن سألتهم من خلق السماوات والأرض وسخر الشمس والقمر ليقولن الله فأنى يؤفكون (61) الله يبسط الرزق لمن يشاء من عباده ويقدر له إن الله بكل شيء عليم (62) ولئن سألتهم من نزل من السماء ماء فأحيا به الأرض من بعد موتها ليقولن الله قل الحمد لله بل أكثرهم لا يعقلون (63)} [العنكبوت : 61-63]
“Dan sekiranya kamu bertanya kepada mereka :siapakah yang mencipta langit dan bumi, yang memperjalankan matahari dan bulan? Nescaya mereka akan menjawab :Allah. Maka bagaimana mereka boleh dipesongkan (daripada beribadat kepada Allah) (61) Allah yang melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dikalangan hambaNya dan menyempitkannya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang ke semua perkara (62) Dan sekiranya kamu bertanya kepada mereka :siapakah yang menurunkan air hujan daripada langit lalu dia menumbuhkan tumbuhan dengan air tersebut di atas bumi yang dahulunya kering kontang? Mereka akan menjawab : Allah. Katakanlah :segala puji adalah milik Allah. Bahkan kebanyakan manusia tidak mahu berfikir (63) – surah al-ankabut
FirmanNya lagi :
{ولئن سألتهم من خلقهم ليقولن الله فأنى يؤفكون} [الزخرف : 87]
“Dan sekiranya kamu bertanya kepada mereka : siapakah yang mencipta mereka? Mereka akan menjawab : Allah. Maka bagaimana mereka boleh dipesongkan” – surah az-zukhruf 87
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa pengakuan tentang rububiyyah Allah semata-mata tidak menjadikan mereka seorang yang beragama islam sehinggalah mereka lafazkan kalimah tauhid لا إله إلا الله. Oleh itu makna kalimah tauhid ini adalah : tiada ilah yang benar melainkan Allah atau tiada yang berhak disembah dan dilakukan ibadat kepadanya melainkan Allah.
Para rasul mengajak kepada kalimah tauhid لا إله إلا الله
Orang yang mentadabbur ayat-ayat AlQuran akan menyedari bahawa kesemua rasul menyeru kaum mereka agar mentauhidkan Allah pada uluhiyyahnya. Tauhid rububiyyah dinyatakan sebagai hujah ke atas manusia iaitu sekiranya kamu menyedari bahawa Allah sahaja yang berkuasa ke atas alam ini maka janganlah kamu menyembah selain Allah. Firman Allah :
{وما أرسلنا من قبلك من رسول إلا نوحي إليه أنه لا إله إلا أنا فاعبدون} [الأنبياء : 25]
“Dan tidak Kami utuskan sebelum daripada kamu seorang rasul melainkan Kami wahyukan kepadanya sesungguhnya tiada ilah yang benar melainkan Aku maka lakukanlah ibadat kepada Ku” – surah al-anbiya 25
Kaum mereka tidak mendakwa ada selain Allah yang mencipta dan mentadbir alam ini. Apa yang menjadikan mereka syirik kepada Allah adalah kerana mereka mengambil perantaraan di antara mereka dengan Allah untuk mengharapkan manfaat dan menghindarkan mudharat. Lalu mereka menyeru nama malaikat, jin atau orang-orang soleh yang telah meninggal dunia untuk memperkenan hajat mereka. Allah menyebutkan perbuatan mereka ini di dalam FirmanNya :
{ويعبدون من دون الله ما لا يضرهم ولا ينفعهم ويقولون هؤلاء شفعاؤنا عند الله قل أتنبئون الله بما لا يعلم في السماوات ولا في الأرض سبحانه وتعالى عما يشركون} [يونس : 18]
“Mereka beribadat kepada selain Allah perkara yang tidak boleh mendatangkan mudharat dan tidak juga boleh mendatangkan manfaat buat mereka. Mereka berkata : mereka ini merupakan pemberi syafaat buat kami di sisi Allah. Katakanlah : adakah kamu hendak memberitahu Allah apa yang Dia tidak mengetahuinya tentangnya di langit dan di bumi.? Maha suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan (denganNya) – surah yunus 18
Ayat ini jelas menyatakan bahawa orang-orang musyrikin melakukan ibadat dengan menyeru dan berdoa kepada selain Allah dengan alasan bahawa sembahan-sembahan tersebut akan memberi syafaat buat mereka di sisi Allah. Inilah yang dinamakan dengan syirik di dalam pengibadatan. Mereka tidak mensyirikkan Allah pada rububiyyahNya akan tetapi pada uluhiyyahNya.
Apabila kita memahami makna tauhid ini maka kita akan mengetahui bahawa amalan sebahagian manusia yang menyeru nama orang-orang yang telah mati untuk mengharapkan bantuan atau pergi ke kubur para wali untuk berdoa bagi mendapatkan syafaat dari ahli kubur tersebut adalah menyamai amalan syirik yang dilakukan oleh orang-orang musyrikin jahiliyah terdahulu.
Semoga Allah melindungi diri kita daripada sebarang bentuk kesyirikan sama ada yang terang atau tersembunyi