بسم الله الرحمن الرحيم
Sebagaimana yang telah dijelaskan pada bahagian yang lalu, ayat-ayat AlQuran banyak menceritakan tentang rububiyyah Allah. Ianya adalah untuk mengingatkan manusia kepada pencipta mereka yang Maha Agong lagi Maha Berkuasa. Apabila manusia menyedari dan menyakini hanya Allah yang Maha Berkuasa maka hendaklah mereka mengharap dan memohon pertolongan hanya kepada Allah. Janganlah memohon dan mengharap kepada sesuatu yang lemah dan tidak memiliki apa-apa.
Umum mengetahui bahawa syaitan telah berjaya menyesatkan manusia dengan mengajak mereka menyembah selain Allah sejak zaman nabi Nuh عليه السلام. Firman Allah :
{لقد أرسلنا نوحا إلى قومه فقال يا قوم اعبدوا الله ما لكم من إله غيره إني أخاف عليكم عذاب يوم عظيم} [الأعراف : 59]
“Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya lalu dia berkata : ‘wahai kaumku, beribadatlah kepada Allah. Tiada bagi kamu ilah selainNya. Sesungguhnya aku bimbangkan azab akan menimpa kamu pada hari kiamat” – surah al-a’rof 59
Apa yang dilakukan oleh kaum baginda? Mereka beribadat kepada orang-orang soleh dengan mengharapkan manfaat daripada orang-orang soleh tersebut. Firman Allah :
{وقالوا لا تذرن آلهتكم ولا تذرن ودا ولا سواعا ولا يغوث ويعوق ونسرا} [نوح : 23]
“Dan mereka berkata : ‘jangan kamu tinggalkan ilah-ilah kamu. Jangan tinggalkan wad, suwa’, yagrus, ya’uq dan nasr” – surah nuh 23
Manusia mudah hilang pertimbangan dan ditipu oleh syaitan. Mereka mengharap bantuan daripada makhluk seperti mereka yang tidak memiliki apa-apa. Mana mungkin sesuatu yang dicipta oleh yang lain dan tunduk kepada kuasa yang lain boleh mendatangkan manfaat atau menghindarkan mudharat. Yang berkuasa mencipta sesuatu lagi Maha Perkasa sahaja yang layak disembah dan dilakukan ibadat kepadanya. Oleh itu Allah menurunkan ayat-ayat yang mengingatkan hambaNya tentang rububiyyahNya sebagai hujah ke atas mereka bahawa tiada yang berhak disembah dan dilakukan ibadat melainkan diriNya. Firman Allah :
{يا أيها الناس ضرب مثل فاستمعوا له إن الذين تدعون من دون الله لن يخلقوا ذبابا ولو اجتمعوا له وإن يسلبهم الذباب شيئا لا يستنقذوه منه ضعف الطالب والمطلوب} [الحج : 73]
“Wahai sekalian manusia, dibuatkan perumpamaan maka hendaklah kamu mendengarnya. Sesungguhnya perkara yang kamu sembah selain daripada Allah tidak sekali-kali boleh mencipta lalat walaupun mereka bersepakat untuk melakukannya. Dan sekiranya lalat tersebut merampas apa-apa daripada mereka, tidaklah sembahan-sembahan tersebut dapat menyelamatkannya. Kedua-duanya iaitu yang menyembah dan yang disembah adalah lemah “- surah al-haj 73
Ayat di atas menjelaskan kepada manusia keseluruhannya bahawa apa yang mereka sembah selain Allah sama ada patung berhala, matahari, bulan, orang-orang soleh dan sebagainya tidak mampu mencipta walaupun sekecil-kecil makhluk iaitu seekor lalat. Apatah lagi perkara yang lebih besar daripada itu. Kalaulah begitu keadaannya, kenapakah mereka tidak menyembah pencipta alam ini yang maha perkasa lagi berkuasa iaitu Allah عز وجل. Bukankah sesuatu yang dicipta oleh sesuatu yang lain menunjukkan ia merupakan makhluk yang lemah. Jika begitu keadaannya kenapakah kamu wahai manusia menyembah selain Allah?
Daripada keterangan di atas dan sebelumnya, dapat difahami bahawa penegasan tentang rububiyyah Allah yang tiada sekutu baginya merupakan inti pati AlQuran untuk mengajak manusia kepada pengibadatan yang betul iaitu tidak menyembah selain Allah. Ianya merupakan asas aqidah yang penting untuk kita menyedari bahawa amalan menyeru kepada selain Allah untuk mengharapkan sesuatu sama ada manfaat atau menghindarkan mudharat merupakan pengharapan kepada yang lemah lagi tidak memiliki apa-apa. Amalan tersebut bertentangan dengan akal yang waras kerana yang sepatutnya ditujukan pengharapan dan diharapkan bantuan hanyalah Allah سبحانه وتعالى yang merupakan Rob bagi sekalian alam.
Alangkah peliknya apabila manusia menyeru nama orang-orang yang soleh untuk mengharapkan sesuatu dan tidak menyeru nama Allah pencipta mereka yang Maha Agong lagi Maha Berkuasa sedangkan Allah menyuruh hamba-hambaNya berdoa dan berharap hanya kepadanya. Pada bahagian akan datang akan dijelaskan إن شاء الله maksud tauhid yang kedua iaitu tauhid al-uluhiyyah yang merupakan pengukur dan pembeza di antara iman dan kufur serta tauhid dan syirik.
Moga Allah memberi taufiq