BAGAIMANA HENDAK MENOLAK DAKWAAN BERIMAN DENGAN ZAHIR ALQURAN ADALAH KUFUR

Perkataan di atas (beriman dengan zahir AlQuran adalah kufur) merupakan apa yang didendangkan oleh golongan yang mengingkari sifat – sifat Allah di dalam Al Quran dan hadis dengan alasan kononnya menetapkan sifat tersebut secara maknanya yang zahir merupakan perbuatan menyamakan Allah dengan makhluk dan menjisimkan Allah. Punca berlakunya pemahaman yang terpesong ini adalah disebabkan kegagalan memahami maksud AlQuran dengan sebenarnya dan juga kegagalan berfikir secara waras. Justeru itu lahirlah perkataan sedemikian tanpa mereka menyelami kesan buruk daripadanya.

Untuk menolak dakwaan ini maka saya kemukakan beberapa fakta penting untuk difahami oleh semua :

  1. Sebagai seorang muslim kita meyakini bahawa sumber utama bagi aqidah umat islam adalah kitab Allah dan hadis Rasulullah صلى الله عليه وسلم وعلمها. Allah menurunkan kitabNya sebagai cahaya dan petunjuk buat manusia. Di dalamnya ada keterangan yang jelas tentang kebenaran. Firman Allah تبارك وتعالى :
    {شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان…. } [البقرة : 185]
    “bulan Ramadan yang diturunkan padanya AlQuran sebagai petunjuk buat manusia dan keterangan yang jelas tentang petunjuk dan pemisah (di antara kebenaran dan kebatilan)….” – surah albaqarah 185
    Mendakwa bahawa zahir AlQuran menunjukkan makna yang kufur berkaitan aqidah tentang sifat Allah merupakan dakwaan yang amat jelek kerana ia merupakan tohmahan kepada isi kandungan AlQuran yang bersifat petunjuk dan keterangan yang jelas tentang kebenaran. Apabila mereka berkata sedemikian maka ia bermaksud AlQuran tidak dapat menunjukkan aqidah yang betul tentang sifat Allah dan Allah tidak mampu menjelaskan kepada manusia tentang sifatnya. Sehinggalah datang golongan asyairah barulah umat islam mendapat gambaran yang betul tentang maksud sifat tersebut. Seakan akan mereka lebih bijak dalam menjelaskan maksud sebenar ayat ayat sifat tersebut. Maha suci Allah daripada keburukan sangkaan seperti ini.
  2. Sedia maklum bahawa AlQuran diturunkan kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan baginda diperintahkan agar menjelaskan isi kandungan AlQuran kepada manusia sebagaimana dalam FirmanNya :
    {وأنزلنا إليك الذكر لتبين للناس ما نزل إليهم ولعلهم يتفكرون} [النحل : 44]
    “dan Kami turunkan kepada kamu peringatan (AlQuran) agar kamu jelaskan kepada manusia tentang apa yang diturunkan kepada mereka dan moga moga mereka berfikir” – surah an-nahl 44
    Sekiranya ayat-ayat sifat tersebut menjadikan umat islam terkeliru di dalam memahami maksudnya sehingga membawa kepada iktikad yang kufur dengan beriman dengan maknanya yang zahir nescaya Rasulullah صلى الله عليه وسلم akan menjelaskan kepada umat Baginda. Dikalangan umat ini ada peringkat kemampuan berfikir yang berbeza. Ada yang pintar dan ada yang lemah. Ada yang merupakan golongan bangsawan dan ada yang bekerja di ladang. Tahap pemikiran yang berbeza ini amat menuntut agar Baginda menjelaskan permasalahan aqidah yang merupakan perkara paling asas di dalam agama. Maka tidak mungkin baginda biarkan umat baginda memahami makna yang zahir daripada ayat tersebut sekiranya membawa kepada kekufuran tanpa memberikan penjelasan. Ini menunjukkan bahawa zahir AlQuran merupakan apa yang dikehendaki daripada ayat ayat sifat tersebut dengan makna yang sesuai dengan keagungan dan kebesaran Allah. Ianya tidak sekali kali menyerupai makhluk ciptaanNya
  3. Para sahabat merupakan generasi yang hidup di zaman turunnya AlQuran. Apabila berlaku kekeliruan tentang agama mereka akan bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم untuk mendapatkan penjelasan seperti firman Allah :
    يسألونك عن المحيض
    “mereka bertanyakan kepada kamu tentang haid”
    يسألونك عن الخمر والميسر
    “mereka bertanyakan kepada kamu tentang arak dan judi”
    Sekiranya makna zahir yang terkandung di dalam Al Quran tersebut membawa kepada kekufuran nescaya sahabat akan bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم untuk mendapatkan penjelasan seperti berkata : “wahai Rasulullah adakah kalimah tangan di dalam ayat ini membawa makna tangan atau makna yang lain? Tidakkah apabila kami mengatakan bahawa Allah mempunyai tangan maka kami akan menyamakan Allah dengan makhluk atau menjisimkan Allah?
    Ini kerana persoalan tentang aqidah adalah lebih penting daripada hukum hakam tentang haid, arak dan judi. Namun sahabat tidak membangkitkan persoalan tersebut. Ini menunjukkan bahawa ianya sudah jelas di sisi mereka iaitu segala sifat yang Allah sebutkan di dalam Al Quran tentang diriNya tidak sekali kali menyamai makhluk ciptaanNya. Firman Allah :
    {ليس كمثله شيء وهو السميع البصير} [الشورى : 11]
    “tiada sesuatu pun yang menyerupaiNya dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat” – surah as-syuro 11

Hanya golongan ahli kalam seperti asyairah dan maturidiyah yang keliru tentang ayat ayat tersebut lalu mereka mengubah maknanya kepada maksud yang lain dengan alasan hendak menyucikan Allah. Sedangkan sebenarnya dakwaan di atas merupakan tohmahan yang berat terhadap AlQuran dan sangkaan yang buruk terhadap Rasulullah dan para
sahabat kerana membawa erti baginda membiarkan makna yang kufur tersebut tanpa diberikan penjelasan.
والله المستعان

Leave a Reply