Adakah mengatakan Allah berada di atas arasy membawa erti menetapkan tempat bagiNya?

بسم الله الرحمن

Permasalahan ini merupakan perkara yang tidak pernah dibincangkan oleh generasi terbaik dikalangan salafus soleh. Sebagaimana yang telah dijelaskan, umat Islam hendaklah beriman dengan nama dan sifat Allah sebagaimana yang datang di dalam nas. Perkara yang tiada di dalam nas tidak boleh mereka bahaskan kerana pengetahuan tentang Allah merupakan sebahagian daripada perkara yang ghaib ertinya tidak diketahui melainkan dengan nas. Dengan erti kata lain, kita tidak menyebutkan : Allah bertempat atau tidak bertempat kerana tiada nas yang menyatakan tentangnya.

Memasukkan perkataan ‘tempat’ ke dalam perbincangan tentang Allah telah membuka pintu penyimpangan di dalam aqidah. Perbuatan ini berpunca daripada tidak dapat memahami maksud firman Allah :

ليس كمثله شيء

“Tiada sesuatu pun yang menyerupainya”

Orang yang membahaskan kalimah tempat sebenarnya telah membayangkan bahawa apabila mereka mengatakan Allah berada di atas arasy membawa erti Allah bertempat. Lalu mereka menuduh sesiapa yang mengatakan Allah berada di atas arasy telah menyamakan Allah dengan makhluk dan menjisimkan Allah. Oleh itu orang tersebut dikira sebagai kafir.

Kepada golongan mengingkari pegangan bahawa Allah berada di atas arasy kami katakan :

1. Adakah kamu lebih mengetahui tentang Allah daripada Allah? Dia mengatakan bahawa Dia berada di atas arasyNya. Atas alasan apa kamu mengubahnya kepada maksud yang lain?

2. Sedarkah kamu bahawa yang memerlukan kepada tempat itu adalah makhluk. Allah telah menyatakan bahawa tiada sesuatu pun yang menyamaiNya. Dia berada di atas arasyNya sebagaimana yang Dia kehendaki, bukanlah Dia berhajat kepada arasy sebagaimana manusia berhajat kepada tempat . Firman Allah :

{وهو الغفور الودود (14) ذو العرش المجيد (15) فعال لما يريد (16)} [البروج : 14-16]
“Dan Dia yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi © Yang memiliki aras yang agong © Yang Melakukan apa yang Dia kehendaki” – surah al – buruj

Oleh itu, apabila mengatakan Allah berada di atas arasy tidaklah membawa erti menetapkan tempat bagi Allah sebagaimana yang dibayangkan oleh kamu kerana Allah tidak sama dengan makhluk ciptaanNya.

3. Adakah tidak mencukupi dengan beriman bahawa Allah berada di atas arasyNya sesuai dengan kebesaran dan keagonganNya, tidak sama dengan makhluk? Adakah pegangan seperti ini boleh dituduh sebagai sesat dan pelakunya dikira sebagai kafir? Sedangkan mereka menetapkan sifat bagi Allah sebagaimana yang Allah sebutkan tentang diriNya.

4. Sedarlah bahawa tuduhan kamu dengan mengatakan beriman Allah berada di atas arasy adalah i’tiqad yang kufur membawa erti AlQuran mengelirukan pegangan manusia. AlQuran tidak memberikan keterangan yang jelas tentang aqidah yang betul. Ini kerana banyak ayat yang menyatakan Allah berada di atas dan Dia berada di atas arasyNya. Kemudian nabi membiarkan ayat yang mengelirukan ini dibaca oleh umat Baginda tanpa ada penjelasan tentang maksudnya yang sebenar. Sehinggalah datang golongan ahli kalam barulah manusia faham tentang maksud ayat ini. Adakah orang yang berakal akan beranggapan seperti di atas? Kalau kamu tidak beranggapan sedemikian maka kamu tidak akan mengatakan beriman dengan zahir AlQuran adalah kufur. Hendaklah kamu memahami bahawa perkataan ini merupakan tohmahan kepada AlQuran kerana tidak dapat menjelaskan aqidah yang betul tentang Allah.

Semoga Allah menunjukkan jalan kebenaran buat kita semua

Leave a Reply