Petunjuk AlQuran Dalam Beriman Dengan Sifat ar-Rahman

بسم الله الرحمن الرحيم

Sebagaimana yang telah dijelaskan, aqidah Islam merupakan aqidah yang bertepatan dengan fitrah manusia dan mudah difahami. Untuk memperolehi aqidah yang murni tersebut Allah datangkan ayat-ayat yang menunjukkan prinsip-prinsip yang perlu bagi orang-orang beriman berpegang dengannya. Dengan prinsip tersebut juga mereka akan selamat daripada syubhat yang merosakkan pemahaman seterusnya menjadikan mereka menyimpang daripada jalan yang lurus. Islam tidak perlukan ilmu falsafah barat untuk memahami aqidah yang terkandung di dalamnya. Rasulullah صلى الله عليه وسلم datang mengajar manusia aqidah yang benar tanpa mencampur aduk ilmu wahyu yang sampai kepada baginda dengan ilmu orang-orang barat yang kufur kepada Allah. Petunjuk yang jelas ada di dalam wahyu Allah. Ia tidak memerlukan sokongan daripada ilmu rekaan manusia apatah lagi ilmu tersebut hasil pemikiran manusia yang kufur kepada Allah.

Para ulama telah menunjukkan prinsip yang mudah untuk seseorang mengenal sifat-sifat Allah dan memahaminya dengan betul. Kaedah tersebut jauh daripada gaya ahli kalam yang berlebihan di dalam mengkaji dalil-dalil AlQuran dan hadis sehingga membawa kepada pengingkaran terhadap makna nas dengan hujah ia bertentangan dengan akal. Mereka menyangka bahawa mereka telah mencapai ketinggian ilmu pengetahuan dan mensucikan Allah dengan sebenar-benarnya melalui ilmu mereka. Sedangkan mereka sebenarnya telah merendahkan martabat AlQuran dan penyampai AlQuran iaitu Rasulullah صلى الله عليه وسلم kerana tidak dapat menunjukkan aqidah yang murni tentang Allah. Walaupun mereka tidak bermaksud sedemikian namun itulah realiti yang ada di dalam ungkapan mereka seperti beriman dengan zahir AlQuran adalah kufur dan ayat-ayat yang menyatakan tentang sifat Allah adalah ayat yang mutasyabihat.

Apabila kita hendak memperolehi kemurnian aqidah berkaitan sifat Allah maka hendaklah kita berpegang dengan dua ayat berikut. Orang yang memahami maksud ayat ini akan merasakan betapa aqidah Islam ini bersesuaian dengan fitrah dan mudah difahami.

Ayat pertama :

ليس كمثله شيء وهو السميع البصير

“Tiada sesuatu pun yang menyerupaiNya dan Dia yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat”

Ayat di atas menyatakan tentang dua perkara :

1. Menafikan ada sesuatu yang menyamai Allah sama ada pada zatNya atau pada sitatNya. Ia terkandung di dalam firmanNya yang bermaksud : tiada sesuatu pun yang menyamaiNya.

2. Menetapkan sifat mendengar dan melihat. Ianya diambil daripada nama Allah : as-Samie’ dan al-Bashir.

Melalui ayat ini kita memahami bahawa Allah mempunyai sifat-sifat yang mana ia terkandung di dalam nama-namaNya yang mulia. Sifat-sifat tersebut merupakan sifat yang sempurna lagi terpuji. Tidak ada keaiban padanya dan tidak menyerupai sifat makhluk ciptaanNya. Begitulah nama-namaNya yang lain, ia mengandungi makna sifat bagi Allah yang tidak menyerupai sifat makhluk. Ini merupakan prinsip yang penting di dalam beriman dengan sifat Allah. Kita beriman dengan segala sifat-sifatNya yang yang disebutkan di dalam AlQuran dan hadis tanpa menyamakan sifat tersebut dengan sifat makhluk.

Ayat kedua

{يعلم ما بين أيديهم وما خلفهم ولا يحيطون به علما} [طه : 110]

“Dia mengetahui tentang apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada dibelakang mereka dan ilmu pengetahuan mereka tidak dapat meliputi tentangNya” – surah thoha 110

Ayat ini pula mengingatkan manusia bahawa Allah Maha Mengetahui tentang segala apa yang ada di langit dan di bumi. Ilmu Allah maha luas. Tiada sesuatu pun yang tersembunyi daripada pengetahuan Allah. Adapun manusia, ilmu mereka amat sedikit. Firman Allah :

{ويسألونك عن الروح قل الروح من أمر ربي وما أوتيتم من العلم إلا قليلا} [الإسراء : 85]
“Mereka bertanyakan kepada kamu tentang roh. Katakanlah bahawa roh merupakan urusan Robku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja” – surah al-isra’ 85

Perhatikanlah….roh yang ada di dalam tubuh kita sendiri namun kita tidak mengetahui tentang hakikatnya kerana ilmu kita amat sedikit. Perkara yang ghaib tidak dapat dicapai melainkan dengan wahyu Allah. Kita beriman dengannya setakat yang dikhabarkan di dalam wahyuNya. Tidak boleh kita cuba memperdalaminya atau memperkatakan tentangnya tanpa ada pedoman daripada wahyu Allah. Apatah lagi perkara yang berkaitan dengan sifat Allah. Tidak boleh kita bercakap tentangnya tanpa ada sandaran dalil kerana Allah telah mengingatkan bahawa ilmu manusia tidak akan dapat menguasai pengetahuan tentangNya. Kita beriman setakat yang dikhabarkan di dalam nas. Tidak boleh kita mempersoalkannya atau mengingkarinya dengan alasan akal tidak dapat menerimanya. Ayat ini menolak perbuatan sebahagian manusia yang mengubah makna yang terkandung di dalam nas kononnya untuk mensucikan Allah daripada menyerupai makhluk.

Apabila anda berpegang dengan ayat-ayat di atas anda akan memahami bahawa prinsip ahli sunnah wal jamaah adalah bertepatan dengan tunjuk ajar syara iaitu beriman dengan sifat Allah tanpa menyamakan dengan makhluk atau mengingkarinya, atau membayangkan dan menanyakan bentuknya atau mengubah maknanya dengan hujah akal semata-mata. Kenapa kita berpegang dengan prinsip ini? Kerana ilmu kita amat sedikit. Maka hendaklah kita beriman dengan ayat-ayat Allah dan hadis Rasulullah sebagaimana ia datang. Mengubah makna nas tanpa sandaran dalil adalah haram kerana bercakap tentang Allah tanpa ilmu. Firman Allah :

{قل إنما حرم ربي الفواحش ما ظهر منها وما بطن والإثم والبغي بغير الحق وأن تشركوا بالله ما لم ينزل به سلطانا وأن تقولوا على الله ما لا تعلمون} [الأعراف : 33]
“Katakanlah hanya sesungguhnya yang diharamkan oleh Robku adalah perkara yang keji sama ada yang zahir atau tersembunyi, dosa, melampaui batas tanpa hak, kamu mensyirikkan dengan Allah sesuatu yang yang tidak diturunkan hujah buatnya dan kamu bercakap tentang Allah perkara yang tidak kamu ketahui “-surah al-a’rof 33

Semoga Allah memberikan kefahaman buat kita semua

Leave a Reply