بسم الله الرحمن الرحيم
Ramai manusia tidak mengenal pencipta mereka dan tidak mengenal diri mereka sendiri. Sekiranya mereka mengenal Allah dan mengagungkanNya dengan sebenar-benarnya maka tidak akan lahir perkataan yang berbentuk tohmahan terhadap ayat-ayat AlQuran. Sekiranya mereka kenal siapa mereka maka mereka tidak akan mengangkat diri mereka lebih daripada nas AlQuran. Sekiranya mereka kenal diri mereka nescaya mereka tidak merasakan diri mereka lebih bijak daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan sahabat baginda.
Diantara perkataan yang keluar daripada mulut sebahagian manusia yang keliru dalam beriman dengan nama dan sifat Allah adalah :
1. Beriman dengan zahir AlQuran adalah kekufuran
2. Apabila ada pertentangan di antara nas dan akal maka dahulukan akal
Kedua-dua perkataan di atas menunjukkan bahawa orang yang melafazkannya tidak mengenal diri mereka sendiri dan tidak mengenal Rob mereka iaitu Allah تبارك وتعالى. Ini kerana Allah telah menurunkan kitabNya sebagai hidayat buat manusia dan kitab tersebut mengandungi keterangan yang jelas tentang petunjuk dan pembeza di antara kebenaran dan kebatilan. Firman Allah :
شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان….
“Bulan ramadhan yang diturunkan padanya AlQuran sebagai petunjuk buat manusia dan keterangan yang jelas tentang petunjuk dan pemisah (diantara kebenaran dan kebatilan) – surah al baqarah
FirmanNya lagi :
{إن هذا القرآن يهدي للتي هي أقوم ويبشر المؤمنين الذين يعملون الصالحات أن لهم أجرا كبيرا} [الإسراء : 9]
“Sesungguhnya AlQuran ini memberi petunjuk kepada jalan yang paling baik (dan paling jelas) dan ia memberi khabar gembira buat orang-orang beriman yang melakukan amalan soleh sesungguhnya bagi mereka ganjaran yang besar” – surah al-isra’ 9
Orang yang mengatakan beriman dengan zahir AlQuran adalah kekufuran sebenarnya telah mentohmah kesucian AlQuran. Dakwaan seperti ini membawa maksud Allah tidak dapat menjelaskan tentang aqidah yang sebenar di dalam ayat-ayatNya. Apa yang ada hanyalah ayat-ayat yang mengelirukan bahkan boleh menjadikan manusia beriktiqad dengan iktiqad yang kufur. Ianya jelas bertentangan dengan ciri-ciri AlQuran yang mengandungi keterangan yang jelas dan sebagai hidayat buat manusia. Kemudian zahir AlQuran yang dikatakan membawa kepada kekufuran tersebut tidak dijelaskan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم kepada para sahabat. Bahkan Baginda mengakuinya seperti penerimaan baginda terhadap jawapan hamba abdi perempuan yang menyatakan Allah berada di atas langit. Setelah datangnya kelompok ahli kalam tersebut barulah orang Islam sedar bahawa zahir AlQuran tersebut tidak benar dan ada makna lain yang merupakan kebenaran telah ditemui oleh mereka. Kesemua ini merupakan kekeliruan dan penyimpangan. Sekiranya mereka benar-benar mengagungkan Allah maka mereka tidak akan mengeluarkan perkataan sedemikian. Adakah mereka menyangka Allah tidak mampu menunjukkan aqidah yang sebenar lagi jelas tentang diriNya di dalam AlQuran? Adakah mereka menyangka nabi Muhammad yang cintakan kepada umat Baginda akan membiarkan makna yang mengelirukan tersebut yang didakwa membawa kepada kekufuran tanpa ada penjelasan? Adakah golongan tersebut lebih berilmu dan lebih cintakan kepada umat Muhammad daripada nabi mereka? Apa yang mereka perkatakan merupakan yang tidak dapat diterima oleh akal yang waras. Hendaklah umat islam kembali kepada nas AlQuran dan hadis untuk memahami aqidah yang betul.
Adapun mendahulukan akal ke atas nas, ianya merupakan kaedah yang lahir daripada kejahilan tentang sifat manusia. Manusia yang kenal tabiat kejadian mereka menyedari bahawa akal bukanlah sumber kebenaran. Kebenaran hanya ada di dalam wahyu Allah. Akal adalah seperti tuannya. Sekiranya manusia lemah dan ada batas kemampuan maka begitulah juga akal mereka. Sekiranya tubuh manusia mudah terkena penyakit maka begitulah akal mereka. Akal mudah dirosakkan oleh syaitan sekiranya tiada petunjuk dari Allah. Oleh itu Allah menurunkan kitabNya dan mengutuskan para rasul untuk membimbing manusia ke jalan yang benar. Kebenaran hanya diketahui melalui wahyu Allah bukan pada akal. Tidakkah kita menyedari bahawa manusia berselisih pendapat kerana cara berfikir dan tahap kemampuan berfikir yang berbeza. Lalu Allah perintahkan agar umat islam kembali kepada AlQuran dan hadis untuk mencari kebenaran. Bukan kepada akal. Firman Allah :
{يا أيها الذين آمنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولي الأمر منكم فإن تنازعتم في شيء فردوه إلى الله والرسول إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر ذلك خير وأحسن تأويلا} [النساء : 59]
“wahai orang-orang yang beriman taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah dan ulul amri dikalangan kamu. Sekiranya kamu berselisihan di dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah perselisihan tersebut kepada Allah dan rasulNya sekiranya kamu benar benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Ianya adalah lebih baik dan kesudahan yang paling elok “-surah an-nisa 59
Akal mesti tunduk kepada nas kerana nas yang maksum bukan akal. Meletakkan akal di atas nas merupakan sebesar-besar punca kesesatan. Manusia juga perlu menyedari bahawa nas tidak akan bertentangan dengan akal yang sejahtera. Sekiranya ada pertentangan maka yang ia berpunca daripada kegagalan akal memahami nas. Yang perlu diubah dan diperbetulkan adalah akal. Bukan nas yang diubah maknanya.
Semoga Allah menunjukkan kebenaran buat kita semua