Tauhid al-Asma was Sifat

بسم الله الرحمن الرحيم

Nama dan sifat Allah banyak disebutkan di dalam AlQuran dan hadis. Generasi terawal memahami makna yang terkandung di dalam nas-nas tersebut sebagaimana ia datang tanpa mengingkari atau mempersoalkan maksud yang dikehendaki daripadanya. Sememangnya aqidah Islam adalah mudah difahami. Semua peringkat masyarakat sama ada golongan cerdik pandai, bangsawan, petani, yang tua atau yang muda bahkan hamba abdi dapat memahami kerana ia bertepatan dengan fitrah dan aqal yang sejahtera.

Sebagai contohnya, mereka beriman bahawa nama Allah itu antaranya adalah as-Samie’ bermakna Maha Mendengar, al-Bashir Maha Melihat, ar-Rahman Maha Mengasihani, al-Malik Maha Berkuasa dan sebagainya. Kesemua nama tersebut mengandungi makna sifat yang menunjukkan bahawa Allah bersifat dengan sifat tersebut. Generasi salaf beriman dengan sifat-sifat tersebut tanpa mengingkarinya atau menyamakan sifat Allah dengan sifat makhluk ciptaanNya.

Selepas tersebar Islam ke merata dunia melalui jihad yang dilancarkan, ramai manusia memeluk agama Islam. Dikalangan mereka yang memeluk Islam tersebut ada yang membawa bersama mereka pemikiran orang-orang kuffar yang bertentangan dengan pegangan dan prinsip ajaran Islam. Lalu wujudlah kelompok yang mempersoalkan ajaran Rasulullah صلى الله عليه وسلم kerana didorong hawa nafsu atau menyimpan permusuhan terhadap Islam dan menzahirkan keimanan. Diantara kelompok yang menyimpang tersebut adalah golongan yang mengingkari rukun iman ke-6 iaitu beriman dengan qadar dan mengingkari sifat-sifat Allah. Imam muslim menyebutkan di dalam kitab sohehnya bahawa orang yang mula-mula mengingkari adanya qadar ialah ma’bad aljuhani di basrah. Imam albukhori pula menyebutkan di dalam kitab خلق أفعال العباد bahawa diantara manusia terawal yang mengingkari sifat Allah adalah al-ja’du ibnu dirham. Lelaki tersebut menyatakan bahawa Allah tidak mengambil nabi Ibrahim عليه السلام sebagai khalilNya (maknanya kekasih) dan tidak bercakap dengan nabi musa عليه السلام. Pemikiran beliau telah diambil dan disebarkan oleh seorang lelaki bernama jahm ibnu sofwan. Oleh itu golongan yang mengingkari sifat Allah digelar kumpulan jahmiyyah merujuk kepada lelaki ini.

Ahli sunnah wal jamaah beriman dengan nama dan sifat Allah sebagaimana generasi sahabat, pengikut sahabat (tabien) dan pengikut tabien beriman. Mereka beriman dengan semua nama dan sifat Allah yang disebutkan di dalam AlQuran dan hadis tanpa mengingkarinya, menyamakan sifat tersebut dengan sifat makhluk, menanyakan bagaimana bentuknya atau mengubahnya kepada makna yang lain dengan alasan akal tidak dapat menerimanya. Pegangan mereka jauh daripada pemikiran golongan yang terpengaruh dengan ilmu falsafah barat yang dicetuskan oleh manusia yang kufur kepada Allah.

Titik permulaan kepada penyimpangan dalam beriman dengan nama dan sifat Allah adalah membayangkan bagaimana hakikat sifat tersebut. Dari sini lahirlah fahaman yang menyamakan sifat Allah dengan makhluk (di dalam bahasa arab disebut tamtsil). Dikalangan mereka yang melakukan tamtsil ini hendak lari dari menyamakan sifat Allah dengan makhluk lalu mereka menafikan maknanya secara total (di dalam bahasa arab disebut ta’thil). Kelompok yang lain pula mengubah makna yang ada pada sifat kepada makna yang lain (dipanggil tahrif) dengan alasan hendak menyucikan Allah daripada menyerupai makhluk. Semua kelompok di atas telah menyelisihi petunjuk AlQuran dan Hadis dan keluar daripada jalan generasi salaf dalam memahami nas-nas kedua-duanya.

Pada siri yang akan datang akan dijelaskan lagi prinsip dan pegangan ahli sunnah berkaitan nama dan sifat Allah إن شاء الله

نسأل الله التوفيق والسداد

Leave a Reply