Perkara Yang Merosakkan Tauhid

بسم الله الرحمن الرحيم

Sebagaimana yang telah dijelaskan, tauhid merupakan perkara paling utama di dalam kehidupan seorang muslim. Kejayaan atau kegagalan seseorang dalam kehidupan di dunia dan akhirat bergantung kepada sejauh mana dia menunaikan tanggungjawab mentauhidkan Allah. Untuk menunaikan tanggungjawab tersebut – selain daripada memahami makna tauhid – umat Islam mesti memahami apakah perkara-perkara yang merosakkan tauhid. Dengan itu dia dapat memelihara tauhidnya seterusnya selamat daripada tipu daya syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan anak Adam. Perlu diingatkan bahawa perosak bagi tauhid adalah syirik. Ia merupakan sebesar-besar dosa yang dilakukan oleh makhluk ciptaan Allah.

Makna syirik

Dari sudut bahasa, syirik membawa makna perkongsian. Syirik adalah lawan bagi tauhid. Sekiranya tauhid membawa makna berkeyakinan bahawa yang mencipta, berkuasa dan mentadbir alam ini hanyalah Allah maka syirik ertinya menganggap ada selain Allah yang melakukan perkara tersebut. Sekiranya tauhid membawa makna tiada yang berhak disembah dan dilakukan ibadat kepadanya melainkan Allah maka syirik ertinya menyembah selain Allah dan melakukan ibadat kepada selainNya. Contohnya seseorang yang mendakwa ada selain Allah yang mencipta dan mentadbir alam ini seperti golongan majusi yang mendakwa alam ini dicipta oleh 2 unsur iaitu unsur cahaya dan unsur kegelapan. Unsur cahaya mencipta kebaikan manakala unsur kegelapan mencipta kejahatan. Golongan ini telah mensyirikkan Allah pada rububiyyahNya. Begitu juga golongan yang mendakwa alam ini ditadbir oleh 4 wali Allah yang bergelar wali qutub. Mereka juga mensyirikkan Allah pada rububiyyahNya kerana ayat-ayat AlQuran jelas menegaskan bahawa yang mentadbir langit dan bumi serta segala isinya hanyalah Allah. Firman Allah سبحانه وتعالى :
{قل من يرزقكم من السماء والأرض أمن يملك السمع والأبصار ومن يخرج الحي من الميت ويخرج الميت من الحي ومن يدبر الأمر فسيقولون الله فقل أفلا تتقون} [يونس : 31]
“Katakanlah : siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi atau siapakah yang memiliki pendengaran dan penglihatan dan siapa yang mengeluarkan yang hidup daripada kematian dan mengeluarkan yang mati daripada kehidupan dan siapa yang mentadbir segala urusan? Maka mereka akan berkata :Allah. Maka katakanlah : kenapakah kamu tidak bertaqwa? – surah yunus 31

Begitu juga golongan yang menyeru nama orang-orang yang telah meninggal dunia untuk mengharapkan bantuan dan berdoa kepada mereka untuk mendapatkan manfaat atau menghindarkan mudharat dalam perkara yang tidak mampu melakukannya melainkan Allah, mereka mensyirikkan Allah pada uluhiyyahNya. Firman Allah :
{والذين يدعون من دون الله لا يخلقون شيئا وهم يخلقون (20) أموات غير أحياء وما يشعرون أيان يبعثون (21)} [النحل : 20-21]
“Dan orang-orang yang kamu seru selain daripada Allah tidak mencipta apa-apa sedangkan merekalah yang dicipta (20) mayat – mayat yang tidak hidup. Mereka tidak mengetahui bilakah mereka akan dibangkitkan (21) – surah an-nahl
FirmanNya lagi :
{إن الذين تدعون من دون الله عباد أمثالكم فادعوهم فليستجيبوا لكم إن كنتم صادقين} [الأعراف : 194]
“Sesungguhnya orang-orang yang kamu seru selain daripada Allah merupakan hamba-hamba seperti kamu. Maka serulah mereka dan mohonlah agar mereka memperkenankan doa kamu sekiranya kamu bercakap benar” – surah al-a’rof 194
FirmanNya lagi :
{إن تدعوهم لا يسمعوا دعاءكم ولو سمعوا ما استجابوا لكم ويوم القيامة يكفرون بشرككم ولا ينبئك مثل خبير} [فاطر : 14]
“Sekiranya kamu menyeru mereka, mereka tidak mendengar seruan kamu. Kalau pun mereka mendengar, mereka tidak akan dapat memperkenankan buat kamu. Pada hari kiamat mereka akan mengingkari kesyirikan yang kamu lakukan. Tiada yang dapat mengkhabarkan kepada kamu seperti yang Maha Mengetahui ” – surah fathir 14

Ayat-ayat di atas dan banyak lagi menunjukkan bahawa manusia yang menyeru selain Allah dan berdoa kepada selainNya merupakan orang yang mensyirikkan Allah kerana doa merupakan ibadat. Semua ibadat tidak boleh dilakukan kepada selainNya. Sesiapa yang berbuat ibadat kepada selain Allah maka dia telah mensyirikkan Allah.

Pada siri yang akan datang akan dijelaskan إن شاء الله tentang bahayanya dosa syirik. Semoga Allah melindungi kita semua daripada terjebak ke dalamnya

Leave a Reply