بسم الله الرحمن الرحيم
Firman Allah تبارك وتعالى :
{قل إن كنتم تحبون الله فاتبعوني يحببكم الله ويغفر لكم ذنوبكم والله غفور رحيم} [آل عمران : 31]
“katakanlah (wahai Rasulullah) : sekiranya kamu mengasihi Allah maka ikutlah aku. Maka Allah akan mengasihi kamu dan mengampunkan buat kamu dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani” – surah al-imran 31
Ayat di atas mengingatkan kepada manusia bahawa tanda benarnya kasih seseorang kepada Allah adalah dengan dia mengikut Rasulullah صلى الله عليه وسلم pada perkataan, perbuatan dan amalannya. Inilah makna penyaksian kita pada kalimah syahadah yang kedua iaitu ‘aku bersaksi bahawa sesungguhnya muhammad merupakan utusan Allah’. Segala amalan yang hendak dibuat kita lakukan berdasarkan tunjuk ajar Baginda. Apa yang ada di dalam sunnah Baginda kita ikuti dan apa yang tiada maka kita tinggalkan. Kita berkeyakinan bahawa segala amalan yang diperlukan untuk mendatangkan pahala dan mendekatkan diri kita kepada Allah telah ditunjukkan oleh Rasulullah untuk diamalkan. Inilah tanda kesempurnaan islam.
Oleh itu para sahabat sentiasa berjalan di atas sunnah Baginda di dalam melakukan amal ibadat. Para ulama menyatakan ciri ciri ahli sunnah itu adalah mereka bergerak di mana sunnah bergerak dan mereka berhenti di mana sunnah berhenti. Dinamakan ahli sunnah itu dengan ahli sunnah adalah kerana mereka berpegang dengan sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan menjauhkan amalan yang tidak ada di dalam sunnah. Kata abdullah ibnu mas’ud رضي الله عنه :
اتبعوا ولا تبتدعوا فقد كفيتم
“ikutlah (apa yang diajarkan oleh Rasulullah) dan jangan kamu mengada-adakan amalan kerana sesungguhnya telah dicukupkan buat kamu”
Ertinya sunnah Baginda telah cukup untuk kamu beramal dengannya.
Pesanan beliau lagi :
وإنكم ستحدثون ويحدث لكم، فإذا رأيتم محدثة فعليكم بالعهد الأول
“Sesungguhnya kamu akan mengada-adakan amalan atau diada-adakan amalan buat kamu. Maka hendaklah kamu berpegang dengan (cara) zaman terawal ”
Ertinya zaman Rasulullah dan sahabat Baginda.
Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah melarang umat Baginda daripada mengada-adakan amalan di dalam agama sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh imam albukhori dan muslim :
من أحدث فى أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد
“sesiapa yang mengada-adakan di dalam urusan agama kami ini perkara yang tiada di dalamnya maka ia adalah ditolak”
Oleh itu marilah kita berpegang teguh dengan sunnah Baginda dan menjauhkan diri daripada beramal dengan perkara yang tidak diajarkan oleh Baginda sebagai tanda kecintaan kita kepada Allah dan rasulNya.