KENAPA ALLAH MENEGASKAN TENTANG RUBUBIYYAHNYA DI DALAM ALQURAN

بسم الله الرحمن الرحيم

Setelah Adam عليه السلام dan isterinya hawwa diturunkan ke bumi, baginda dan zuriat baginda berjalan di atas tauhid dengan beribadat hanya kepada Allah. Sehinggalah berlalu beberapa kurun, syaitan berjaya menyesatkan anak Adam dengan mengajak kepada mensyirikkan Allah melalui pengibadatan kepada orang-orang soleh. Perkara ini terjadi di zaman nabi Nuh عليه السلام. Lalu Allah mengutuskan baginda mengajak kepada pengibadatan kepada pencipta mereka dan penguasa kepada segala yang ada di langit dan di bumi iaitu Allah تبارك وتعالى.

Bagi orang yang mentadabbur ayat-ayat AlQuran, mereka akan dapati ayat-ayat yang berkaitan dengan rububiyyah Allah disebutkan untuk mengingatkan kepada manusia bahawa yang layak disembah dan dilakukan ibadat kepadanya hanyalah Allah sahaja. Selain daripada Allah merupakan makhluk yang tidak memiliki apa-apa, makhluk yang tunduk kepada kuasa dan tadbir Allah عز وجل. Apabila kita membaca kisah perjuangan para rasul di dalam AlQuran, kita dapati mereka memberi peringatan kepada kaum mereka tentang rububiyyah Allah dan selain daripada Allah tidak memiliki kuasa untuk mendatangkan manfaat atau mudharat buat manusia. Dengarlah apa yang diperkatakan oleh Nabi nuh عليه السلام kepada kaum baginda ketika mengingkari amalan syirik mereka sebagaimana yang Allah sebutkan di dalam kitabNya :
{ما لكم لا ترجون لله وقارا (13) وقد خلقكم أطوارا (14) ألم تروا كيف خلق الله سبع سماوات طباقا (15) وجعل القمر فيهن نورا وجعل الشمس سراجا (16) والله أنبتكم من الأرض نباتا (17) ثم يعيدكم فيها ويخرجكم إخراجا (18) والله جعل لكم الأرض بساطا (19) لتسلكوا منها سبلا فجاجا (20)} [نوح : 13-20]
“Kenapakah kamu tidak takutkan kepada keagongan Allah (13) Sedangkan Dia telah mencipta kamu melalui beberapa peringkat (14) Tidakkah kamu melihat bagaimana Allah mencipta 7 lapisan langit (15) Dia menjadikan bulan padanya cahaya dan Dia menjadikan matahari sebagai pelita (16) Allah menghidupkan kamu daripada bumi (17) Kemudian Dia mengembalikan kamu ke dalamnya dan kemudian mengeluarkan kamu daripadanya (18) Allah menjadikan buat kamu bumi terbentang (19) Untuk kamu melalui di atasnya jalan yang luas “-surah Nuh 13- 20

Begitu juga kitab suci AlQuran yang diturunkan kepada nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم, di dalamnya banyak ayat yang menegaskan tentang rububiyyah Allah untuk mengajak manusia kepada pengibadatan kepada Rob yang memiliki ciri-ciri rububiyyah tersebut. Bulan, matahari, bintang, pokok-pokok, orang-orang soleh dan sebagainya merupakan makhluk yang tidak layak disembah dan tidak boleh mendatangkan manfaat atau mudharat kepada manusia. Firman Allah سبحانه وتعالى :
{أمن خلق السماوات والأرض وأنزل لكم من السماء ماء فأنبتنا به حدائق ذات بهجة ما كان لكم أن تنبتوا شجرها أإله مع الله بل هم قوم يعدلون (60) أمن جعل الأرض قرارا وجعل خلالها أنهارا وجعل لها رواسي وجعل بين البحرين حاجزا أإله مع الله بل أكثرهم لا يعلمون (61)} [النمل]
“Adakah Yang menjadikan langit dan bumi dan menurunkan buat kamu air dari langit.,lalu Kami tumbuhkan dengannya kebun-kebun yang mempunyai pemandangan yang indah, kamu tidak mampu untuk menumbuhkan pohon-pohonnya, adakah Ilah selain Allah? Bahkan mereka merupakan kaum yang menyimpang (60) Adakah yang menjadikan bumi tempat tinggal, Dia menjadikan dicelah-celahnya sungai-sungai, Dia menjadikan baginya bukit bukau dan Dia menjadikan pemisah di antara 2 laut, adakah Ilah selain Allah? Bahkan kebanyakan daripada mereka tidak mengetahui (61) – surah an-naml

Juga ayat 21-22 di dalam surah al-baqarah, Allah mengajak manusia menyembah Dia yang memiliki ciri-ciri rububiyyah dan melarang mereka daripada menjadikan selain daripada Rob tersebut sebagai tandingan bagiNya sedangkan mereka mengetahui tandingan tersebut tidak memiliki apa-apa yang melayakkan ia disembah. Firman Allah :
{يا أيها الناس اعبدوا ربكم الذي خلقكم والذين من قبلكم لعلكم تتقون (21) الذي جعل لكم الأرض فراشا والسماء بناء وأنزل من السماء ماء فأخرج به من الثمرات رزقا لكم فلا تجعلوا لله أندادا وأنتم تعلمون (22)} [البقرة : 21-22]
“Wahai sekalian manusia, sembahlah Rob kamu yang mencipta kamu dan orang-orang sebelum kamu moga moga kamu bertaqwa (21) Dia yang menjadikan buat kamu bumi terbentang dan langit sebagai atap dan menurunkan daripada awan air hujan. Lalu Dia mengeluarkan dengan air tersebut hasil tanaman sebagai rezeki buat kamu. Maka janganlah kamu jadikan bagi Allah tandingan dalam keadaan kamu mengetahui (22) – surah al-baqarah

Oleh itu amat penting bagi manusia memahami maksud tauhid ar-rububiyyah agar mereka kenal pencipta mereka seterusnya tidak menyembah selain daripadaNya. Amat penting bagi mereka mengajak manusia agar mengakui rububiyyah Allah yang tiada sekutu padanya untuk mereka melakukan ibadat, berdoa dan mengharap hanya kepada Allah. Setelah itu mereka mengajak manusia kepada mentauhidkan Allah pada rububiyyahNya dan dan uluhiyyahNya.

Pada siri yang akan datang akan dijelaskan maksud tauhid al-uluhiyyah yang merupakan perkara pokok di dalam perjuangan para rasul dan inti pati bagi kalimah syahadah yang dilafazkan oleh setiap orang yang mengaku beragama Islam.

Leave a Reply