بسم الله الرحمن الرحيم
Sebagaimana yang dimaklumi tauhid menurut ahli sunnah wal jamaah terbahagi kepada 3 iaitu tauhid ar-rububiyyah, tauhid al-uluhiyyah dan tauhid al-asma was sifat. Pada bahagian ini akan dijelaskan maksud tauhid ar-rububiyyah dan dalil-dalilnya. Semoga keterangan yang disampaikan akan menjadi pedoman buat orang yang mencari kebenaran.
Makna Rob dan ar-rububiyyah
Kalimah ar-rububiyyah daripada perkataan Rob. Apabila kita membaca AlQuran maka akan ditemui banyak kali kalimah Rob disebutkan di dalamnya. Mencukupi disebutkan dua ayat di dalam surah pertama dan terakhir di dalam mushaf yang ada bersama kita iaitu firman Allah :
الحمدلله رب العالمين – الفاتحة 1
“Segala sifat yang terpuji adalah milik Allah yang merupakan Rob bagi sekalian alam” – surah al fatihah 1
dan FirmanNya :
قل أعوذ برب الناس- الناس 1
“Katakanlah : aku berlindung dengan Rob bagi sekalian manusia” – surah an-nas 1
Allah سبحانه وتعالى telah menyatakan pengertian Rob di dalam ayat-ayat AlQuran sebagai peringatan buat manusia tentang kebesaran dan keagonganNya. Apabila kita meneliti ayat-ayat tersebut kita akan dapat memahami bahawa kalimah Rob membawa maksud pencipta, penguasa dan pentadbir alam ini. Firman Allah :
{يا أيها الناس اعبدوا ربكم الذي خلقكم والذين من قبلكم لعلكم تتقون (21) الذي جعل لكم الأرض فراشا والسماء بناء وأنزل من السماء ماء فأخرج به من الثمرات رزقا لكم فلا تجعلوا لله أندادا وأنتم تعلمون (22)} [البقرة : 21-22]
“Wahai sekalian manusia, beribadatlah kepada Rob kamu yang mencipta kamu dan orang-orang sebelum kamu moga-moga kamu bertaqwa 0 Dia yang menjadikan buat kamu bumi terbentang dan langit sebagai binaan. Dia menurunkan daripada langit air hujan lalu Dia mengeluarkan dengan air hujan tersebut hasil tanaman sebagai rezeki buat kamu. Maka janganlah kamu menjadikan bagi Allah tandingan sedangkan kamu mengetahui “- surah albaqarah 21-22
FirmanNya lagi
{إن ربكم الله الذي خلق السماوات والأرض في ستة أيام ثم استوى على العرش يغشي الليل النهار يطلبه حثيثا والشمس والقمر والنجوم مسخرات بأمره ألا له الخلق والأمر تبارك الله رب العالمين} [الأعراف : 54]
“Sesungguhnya Rob kamu adalah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam tempoh 6 hari. Kemudian Dia berada di atas arasy. Dia menjadikan malam menutup siangnya yang mana ia berlaku dengan pantas. Matahari, bulan dan bintang-bintang kesemuanya tunduk dengan perintahNya. Ketahuilah hanya milikNya penciptaan dan segala urusan. Maha Agong Allah yang merupakan Rob sekalian alam “- surah al-a’rof 54
FirmanNya lagi :
{اللَّهُ الَّذِي رَفَعَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا ۖ ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ ۖ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ ۖ كُلٌّ يَجْرِي لِأَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ يُدَبِّرُ الْأَمْرَ يُفَصِّلُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُم بِلِقَاءِ رَبِّكُمْ تُوقِنُونَ} [الرعد : 2]
“Allah yang mengangkat langit tanpa tiang kamu melihatnya. Kemudian Dia berada di atas arasyNya. Dia memperjalankan matahari dan bulan. Kesemuanya beredar mengikut tempoh yang ditetapkan. Dia yang mentadbir segala urusan. Dia menjelaskan bukti-bukti moga-moga kamu yakin dengan pertemuan dengan Rob kamu “- surah ar-ra’d 2
FirmanNya lagi :
{أفلم ينظروا إلى السماء فوقهم كيف بنيناها وزيناها وما لها من فروج (6) والأرض مددناها وألقينا فيها رواسي وأنبتنا فيها من كل زوج بهيج (7) تبصرة وذكرى لكل عبد منيب (8) ونزلنا من السماء ماء مباركا فأنبتنا به جنات وحب الحصيد (9) والنخل باسقات لها طلع نضيد (10) رزقا للعباد وأحيينا به بلدة ميتا كذلك الخروج (11)} [ق : 6-11]
“Apakah mereka tidak melihat langit di atas mereka bagaimana Kami membinanya dan menghiaskannya, tiada padanya retakan 0 Dan bumi Kami bentangkan dan Kami letakkan padanya pasak-pasak dan Kami tumbuhkan di atasnya daripada setiap jenis (tumbuhan) yg menarik dipandang 0 ianya untuk memberi kesedaran dan peringatan buat setiap hamba yang kembali (kepada Robnya) 0 dan Kami turunkan dari langit air hujan yang mengandungi keberkatan lalu Kami tumbuhkan dengannya kebun-kebun serta bijirin yang dituai 0 dan pohon kurma yang tinggi yang mempunyai mayam yang bersusun-susun 0 sebagai rezeki buat hamba-hamba dan Kami hidupkan dengannya negeri yang kering 2kontang. Demikian jugalah keluarnya (manusia di hari kiamat) “-surah qaf
Banyak lagi ayat-ayat yang menyatakan bahawa Allah merupakan pencipta, penguasa dan pentadbir alam ini. Inilah yang dikehendaki daripada perkataan Rob. Adapun ar-rububiyyah ia membawa maksud ciri-ciri Rob yang ada pada Allah تبارك وتعالى. Apabila kita menyebut tauhid ar-rububiyyah maka ia membawa erti pengakuan kita bahawa alam ini dan segala isinya dicipta oleh Allah dan Dia merupakan penguasa dan pentadbirnya yang tiada sekutu bagiNya. Tiada sesuatu pun yang berkongsi dengan Allah pada ciri-ciri tersebut.
Orang yang memahami makna ar-rububiyyah tidak akan mengingkari bahawa ia merupakan ciri-ciri yang selayaknya ada pada Allah عز وجل. Oleh itu perbuatan mengingkarinya lahir daripada kekeliruan dan tidak mentadabbur ayat-ayat AlQuran dengan sebenar-benarnya. Kita menyeru kepada semua umat islam agar kembali kepada fitrah yang telah dijadikan di dalam diri manusia iaitu mengakui bahawa alam ini dicipta dan ditadbir oleh yang satu iaitu Allah سبحانه وتعالى.
Kesimpulannya Allah merupakan Rob bagi sekalian alam sebagaimana yang Dia nyatakan pada awal surah al fatihah. Tiada selain Allah yang berkongsi denganNya pada ciri-ciri rububiyyah. Dengan erti kata yang lain tiada selain Allah yang mencipta, menguasai dan mentadbir alam ini. Sesiapa yang mendakwa bahawa ada selain Allah yang berkuasa dan mentadbir alam ini seperti golongan majusi yang beriktikad bahawa alam ini ditadbir oleh 2 unsur dan golongan sufi tarekat yang mendakwa alam ini ditadbir oleh 4 wali qutub maka mereka merupakan orang yang mensyirikkan Allah pada rububiyyahNya.