بسم الله الرحمن الرحيم
Ilmu tauhid merupakan ilmu yang terpenting di dalam kehidupan manusia. Ini kerana Allah عز وجل tidak mencipta manusia melainkan untuk mentauhidkanNya. Kerana inilah Allah menurunkan kitabNya dan mengutuskan para rasul. Firman Allah :
{وما أرسلنا من قبلك من رسول إلا نوحي إليه أنه لا إله إلا أنا فاعبدون} [الأنبياء : 25]
“Dan Kami tidak mengutuskan sebelum daripada kamu dikalangan rasul melainkan Kami wahyukan kepadanya sesungguhnya tiada ilah (yang benar) melainkan Aku maka beribadatlah kepadaKu” – surah al-anbiya ayat 25
Kerana ini jugalah manusia yang engkar dikalangan umat terdahulu dibinasakan oleh Allah disebabkan dosa syirik yang mereka lakukan. Firman Allah :
{كَذَّبَتْ ثَمُودُ وَعَادٌ بِالْقَارِعَةِ (4) فَأَمَّا ثَمُودُ فَأُهْلِكُوا بِالطَّاغِيَةِ (5) وَأَمَّا عَادٌ فَأُهْلِكُوا بِرِيحٍ صَرْصَرٍ عَاتِيَةٍ (6) سَخَّرَهَا عَلَيْهِمْ سَبْعَ لَيَالٍ وَثَمَانِيَةَ أَيَّامٍ حُسُومًا فَتَرَى الْقَوْمَ فِيهَا صَرْعَىٰ كَأَنَّهُمْ أَعْجَازُ نَخْلٍ خَاوِيَةٍ (7) فَهَلْ تَرَىٰ لَهُم مِّن بَاقِيَةٍ (8) وَجَاءَ فِرْعَوْنُ وَمَن قَبْلَهُ وَالْمُؤْتَفِكَاتُ بِالْخَاطِئَةِ (9) فَعَصَوْا رَسُولَ رَبِّهِمْ فَأَخَذَهُمْ أَخْذَةً رَّابِيَةً (10)} [الحاقة : 4-10]
“Kaum tsamud dan kaum ‘aad telah mendustakan hari kiamat (4) adapun tsamud, mereka telah dibinasakan dengan bunyi gegak gempita yg dahsyat (5) adapun kaum’ aad, mereka telah dibinasakan dengan angin kencang yang amat sejuk (6) Allah menghantarnya kepada mereka selama 7 malam 8 hari secara berterusan. Lalu kamu lihat kaum tersebut terbujur kaku seakan-akan ianya seperti pohon-pohon kurma yang tumbang (7) adakah kamu melihat saki baki daripada kumpulan mereka (8) – surah al-haaqqah
Oleh itu pembelajaran ilmu ini mesti diberikan penekanan demi kebaikan manusia di hari kemudian. Mengabaikannya bererti mengabaikan hak pencipta mereka iaitu Allah عز وجل
Pengertian tauhid
Perkataan tauhid dari sudut bahasa membawa makna menjadikan sesuatu itu satu. Di dalam konteks aqidah seorang muslim ilmu tauhid membawa erti kepercayaan mereka bahawa ciri-ciri tertentu merupakan hak Allah semata-mata. Ertinya mereka berpegang bahawa ciri ciri tersebut hanya satu-satunya milik Allah. Tiada yang berkongsi atau menyamaiNya. Tiada yang setanding denganNya. Perkara inilah yang mesti dipelajari dan difahami oleh setiap orang yang mengaku beragama Islam.
Kepentingan Tauhid
Tauhid merupakan makna yang terkandung di dalam kalimah syahadah yang dilafazkan oleh seorang Muslim yang mana tidak sah keislamannya melainkan dengan dia bersaksi dengan kalimah ini. Sebagai mana yang dinyatakan di atas, Allah mengutuskan para rasul untuk mengajak manusia mentauhidkanNya. FirmanNya :
{وما أرسلنا من قبلك من رسول إلا نوحي إليه أنه لا إله إلا أنا فاعبدون} [الأنبياء : 25]
“Dan Kami tidak utuskan sebelum daripada kamu seorang rasul melainkan Kami wahyukan kepadanya sesungguhnya tiada ilah (yang benar) melainkan Aku. Maka beribadatlah kepada Aku” – surah al-anbiya ayat 25
Ayat di atas menerangkan secara jelas tugas utama para rasul iaitu mengajak manusia kepada kalimah tauhid لا إله إلا الله dan melarang manusia daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan tauhid iaitu syirik. Di dalam Al Quran banyak ayat yang menceritakan kisah perjuangan para rasul. Perjuangan mereka yang bermula dengan mengajak manusia kepada mentauhidkan Allah. Firman Allah menceritakan perjuangan nabi Nuh عليه السلام :
{لقد أرسلنا نوحا إلى قومه فقال يا قوم اعبدوا الله ما لكم من إله غيره إني أخاف عليكم عذاب يوم عظيم} [الأعراف : 59]
“Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya lalu dia berkata : wahai kaumku beribadatlah kepada Allah. Tiada bagi kamu ‘ilah’ selainNya. Sesungguhnya aku bimbang azab yang besar akan menimpa kamu (kerana mensyirikkan Allah) – al-a’rof ayat 59
Di dalam ayat yang lain berkaitan perutusan nabi Hud عليه السلام Allah menyatakan :
{وإلى عاد أخاهم هودا قال يا قوم اعبدوا الله ما لكم من إله غيره أفلا تتقون} [الأعراف : 65]
“Dan kepada kaum ‘aad (Kami utuskan) saudara mereka Hud lalu dia berkata : wahai kaumku beribadatlah kepada Allah. Tiada bagi kamu’ ilah ‘ selainNya. Kenapakah tidak kamu bertaqwa” – surah al-a’rof ayat 65
Demikianlah ke semua para rasul diutuskan Allah untuk mengajak manusia kepada kalimah yang agong ini. Kerana kalimah inilah juga Allah mencipta syurga dan neraka. Sesiapa yang menerima dan beriman dengannya maka dia akan dimasukkan ke dalam syurga Allah pada hari kiamat kelak. Sesiapa yang menolaknya dan kufur dengan kalimah tersebut maka dia akan disumbat ke dalam neraka Allah. Firman Allah :
{لقد كفر الذين قالوا إن الله هو المسيح ابن مريم وقال المسيح يا بني إسرائيل اعبدوا الله ربي وربكم إنه من يشرك بالله فقد حرم الله عليه الجنة ومأواه النار وما للظالمين من أنصار} [المائدة : 72]
“Sesungguhnya telah kufurlah orang-orang yang mengatakan : sesungguhnya Allah adalah Al-Masih ibnu maryam (sedangkan) Al-Masih mengatakan wahai bani Israel beribadatlah kepada Allah yang merupakan Robku dan juga Rob kamu. Sesungguhnya sesiapa yang mensyirikkan Allah maka Allah haramkan ke atasnya syurga dan tempatnya adalah neraka. Tiada bagi orang-orang yang zalim penolong-penolong “-surah al-maidah ayat 72
Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Utsman رضي الله عنه :
من مات وهو يعلم أنه لا إله إلا الله دخل الجنة
” sesiapa mati dalam keadaan dia tahu bahawa tiada ilah yang benar melainkan Allah maka dia masuk syurga “-riwayat Muslim
Di dalam hadis abu dzar Baginda bersabda :
مَنْ مَاتَ مِنْ أُمَّتِي لَا يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا دَخَلَ الْجَنَّةَ
“sesiapa yang mati dikalangan umatku dalam keadaan tidak mensyirikkan sesuatu pun dengan Allah maka dia masuk syurga” – riwayat albukhori
Kesimpulannya ayat-ayat AlQuran dan hadis yang banyak menerangkan tentang pentingnya tauhid dan bahayanya syirik. Maka semestinya orang yang beriman mengambil berat tentang ilmu ini demi kejayaan buat mereka di hari akhirat.